PAS terus senyap memperjuangkan RUU355 setelah menjadi kerajaan

PAS terus senyap memperjuangkan RUU355 setelah menjadi kerajaan

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan kesediaan PAS menggunakan kuasa politiknya untuk merealisasikan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, lebih dikenali sebagai RUU 355.

“Di atas prinsip memperjuangkan hukum Islam, maka Marang (telah) bentangkan (RUU 355) sebagai rang undang-undang persendirian (pada tahun 2016).

“(Ia) bukti kesungguhan (beliau). Kemudian, mati di situ,” kata Saifuddin, merujuk kepada Ahli Parlimen Marang dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, walaupun PAS sudah hampir setahun menganggotai Perikatan Nasional (PN) yang diuar-uarkan sebagai kerajaan Melayu-Islam, parti itu dan PN senyap dalam memperjuangkan RUU355.

Setahun sudah menjadi kerajaan. Tiada kertas kabinet untuk melaksanakan RUU 355 dibentangkan oleh menteri agama atau menteri undang-undang.

“Tiada dibentang dalam kabinet bermaksud tiada juga dibentang dalam parlimen,” kata Saifuddin.

Di parlimen, Saifuddin berkata wakil PAS turut mendiamkan diri berhubung pindaan akta itu.

“Tiada desakan sekelumit pun di parlimen oleh 18 Ahli Parlimen parti Islam termasuk Marang,” kata Saifuddin dalam Facebooknya.

Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha seketariat Pakatan Harapan, berkata PAS dan PN tidak boleh memberikan alasan tiada kuasa politik untuk menangguhkan pelaksanaan RUU355

“Menteri agama (adalah) bekas mufti. Menteri undang-undang pula dari parti Islam. Majoriti ahli kabinet Melayu Islam. Peguam Negara bukan lagi Tommy Thomas tetapi Idrus Harun (semuanya) Muslim,” ujar beliau.

Saifuddin berkata oleh kerana jelas “kuasa politik di tangan kerajaan Melayu Islam,” PAS perlu menyatakan kenapa RUU 355 tidak boleh dilaksanakan walaupun lantang menuntutnya sebelum ini.

Pada Nov lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, RUU 355 perlu dirunding dengan negeri sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Perbahasan RUU 355 ditangguhkan sejak 2017, selepas Hadi pertama kali membentangkan usul persendirian itu di Dewan Rakyat pada Mei 2016.

RUU 355 mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda maksimum RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Sumber berita

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/07/kuasa-politik-dalam-tangan-kenapa-tak-teruskan-ruu-355-tanya-saifuddin-kepada-pas/

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )