Khaled bidas Annuar bangkit sentiment ‘Victim’ tidak wujud sebarang pemecatan

Khaled bidas Annuar bangkit sentiment ‘Victim’ tidak wujud sebarang pemecatan

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin membidas kenyataan Annuar Musa berhubung pendiriannya, Umno perlu bekerjasama dengan semua parti Melayu sekali pun beliau dipecat.

Khaled berkata, tidak wujud sebarang khabar atau ura-ura yang menjurus ke arah niat untuk memecat Annuar.

“Jadi, mengapa mahu sengaja dibangkitkan tanggapan serta sentimen ‘victim’ seperti ini.

“Ia hanya akan membuka ruang salah faham yang tidak baik, sama ada dari luar mahu pun dalam parti,” katanya dalam kenyataan.

Khaled berkata, tindakan Annuar itu tidak sihat untuk beliau terus-menerus mengkritik parti secara terbuka seperti sekarang.

Katanya, ini tidak menguntungkan Umno serta melemahkan setiakawan dan secara sistematik mengelirukan parti.

“Sebagai seorang ahli lama, beliau mempunyai akses kepada semua kepimpinan parti untuk menyatakan pendirian pandangan kritikal beliau.

“Lebih penting, tindakan mengkritik secara terbuka ini akan hanya memberi kesan kepada moral dan sokongan ahli parti dan masyarakat luar yang sedang memerhati Umno secara rapat,” katanya.

Beliau berkata, Umno sudah memutuskan untuk kembali dan menguatkan Barisan Nasional (BN).

Katanya, pada masa sama, kekuatan politik orang Melayu turut diusahakan bersama PAS dalam Muafakat Nasional (MN).

“Segala kerjasama membentuk kerajaan hanya akan dipertimbangkan setelah pilihan raya dan dibuat bersandarkan mandat dan pilihan rakyat.

“Ini keputusan parti dan keputusan bersama. Jadi, Umno akan bekerja keras untuk menjayakannya. Berjaya atau tidak Umno dalam ikhtiar ini sangat terletak kepada pilihan rakyat. Semua itu terpulang kepada keyakinan rakyat,” katanya.

Khaled berkata, keputusan Umno untuk tidak bersama PN atau Pakatan Harapan (PH) adalah kerana kedua-duanya tidak diyakini oleh rakyat.

Katanya, sebahagian daripada mereka juga sudah ditolak terang-terangan.

“Ada yang sampai diheret ke mahkamah oleh pengundi di kawasan mereka untuk dilucutkan daripada jawatan.

“Kemerosotan populariti PN dan keraguan terhadap kemampuannya mentadbir negara menjadikan kerjasama Umno dan PN tidak strategik

“Apatah lagi tiadanya usaha radikal untuk menarik sokongan bukan Melayu. Jadi, apa motivasi dan alasan kukuh untuk terus mendesak Umno dengan sebegitu rupa,” katanya.

Khaled berkata, seandainya Umno sudah tidak elok dan gagal memahami aspirasi dan perjuangan peribadi Annuar, janganlah bermain tarik tali dan bertangguh-tangguh dengan parti itu kerana ia hanya mengelirukan orang ramai.

“Tambahan pula parti ini sedang diperkasakan. Ini usaha yang kritikal dan besar.

“Jadi, Umno memerlukan semua pihak untuk bersama-sama dalam perjuangannya serta membantu mengukuhkannya. Bukannya membiarkan Umno diserang-serang, diperkotak-katikkan malah terus-menerus mempertahankan pula lawan dan mereka yang merendah-rendahkan Umno,” katanya.

Sumber berita

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/09/tiada-niat-pecat-annuar-mengapa-sengaja-bangkit-sentimen-victim-kata-khaled/

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )