Benarkan sidang parlimen atau tubuh jawatankuasa ambil alih peranan kabinet – Azalina

Benarkan sidang parlimen atau tubuh jawatankuasa ambil alih peranan kabinet – Azalina

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said mencetuskan kontroversi apabila menghantar surat kepada Peguam Negara untuk memohon Parlimen dibenarkan bersidang atau sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk mengambil alih peranan Kabinet.

Usul beliau itu membawa reaksi berbelah bahagi termasuk dalam kalangan pemimpin kerajaan yang mengaitkannya kepada kemelut antara PPBM dan Umno yang sekian lama berterusan.

Seorang menteri yang enggan namanya disiarkan bersetuju dengan cadangan Azalina kerana tidak ada alasan kuat untuk terus menggantung Parlimen walhal pelbagai sekatan berkaitan Covid-19 dilonggarkan.

“Akan sampai masanya kerajaan tidak lagi boleh mempertahankan keputusan menggantung Parlimen. Begitu banyak benda berlaku, ia adalah memalukan,” kata beliau kepada FMT.

Menteri berkenaan berkata semua pihak harus menguruskan pandemik Covid-19 berasaskan sains dan data.

Azalina, dalam suratnya kepada Peguam Negara Idrus Harun, berkata beliau tergamam kerana Malaysia tidak dapat atau enggan mencari cara untuk membolehkan Parlimen bersidang.

Beliau turut mengusulkan penggantungan Kabinet yang ada dan diganti dengan Kabinet Darurat dengan kuasa-kuasa terhad sehingga perintah darurat ditarik balik pada 1 Ogos.

Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara berasaskan agenda politik.

“Kami mendengar dari sebelah sana, ada ura-ura oleh kementerian dalam negeri untuk membatalkan pendaftaran Umno. Jadi pada saya, ini langkah untuk memberi amaran untuk memberitahu mereka supaya tidak ‘mencabar’ parti yang memerintah,” kata beliau.

Nur Jazlan menyokong usul Azalina kerana mendakwa kerajaan PN tidak mempunyai keabsahan susulan penarikan sokongan Umno terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Pada masa ini langsung tidak ada sebarang usaha semak dan imbang. Pakar perundangan juga mempertikaikan keabsahan jawatankuasa khas bebas darurat yang dibentuk minggu lalu,” kata beliau.

“Ia hanya membazir masa kerana keputusannya tidak mempunyai kuasa pelaksanaan,” tambah beliau.

Nur Jazlan mendakwa Muhyiddin menerajui negara “sesuka hati.”

“Adakah ini yang dikehendaki rakyat iaitu terus dalam keadaan begini sehingga beliau (Muhyiddin) memutuskan bila kita boleh kembali kepada demokrasi?”

Muhyiddin berkata selepas enam minggu Malaysia di bawah darurat, tidak ada apa-apa perubahan dalam situasi pandemik Covid-19 dengan jumlah kes tidak menurun.

Justeru, katanya, tidak ada keperluan darurat dan Parlimen harus dibenarkan bersidang agar Malaysia boleh ditadbir dengan tersusun dan lancar.

Seorang lagi pemimpin Umno, Shahidan Kassim berkata negara harus mempunyai sebuah kerajaan stabil, walaupun mempunyai majoriti paling minimum di Parlimen.

Beliau berkata jika kerajaan terus dalam keadaan lemah, ia tidak akan berupaya menangani pandemik Covid-19 dengan berkesan.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi PPBM Rosol Wahid, mempertahankan penggantungan Parlimen dan menegaskan pengisytiharan darurat adalah untuk menangani pandemik Covid-19.

“Parlimen harus digantung supaya Covid-19 dapat diperangi dengan berkesan,” kata beliau.

Rosol berkata sungguhpun semua Ahli Parlimen akan menerima vaksin Covid-9 ia tidak bermakna Parlimen boleh bersidang segera kerana keberkesanan vaksin itu perlu dipastikan.

Sumber berita

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/17/penggantungan-parlimen-azalina-cetuskan-polemik-baharu/

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )